Latar Belakang

LATAR BELAKANG

Dilahirkan pada 6 Zulhijjah 1366 bersamaan 20 Oktober 1947, di Kampung Rusila, Marang, Terengganu. Beliau merupakan anak ke-5 daripada 9 orang beradik tetapi 4 daripadanya telah meninggal dunia. Ayahandanya, Haji Awang Mohamad bin Abdul Rahman manakala bonda beliau Hajjah Aminah Yusuf. Kedua-duanya telah meninggal dunia.

Ayah dan bonda beliau merupakan anak jati di Kampung Rusila, tempat beliau tinggal sekarang. Ayahanda beliau yang merupakan Tok Guru dan Imam di Masjid Kampung Rusila juga merupakan aktivis politik Hizbul Muslimin Terengganu. Begitu juga dengan bondanya yang menjadi tempat rujukan dan tumpuan masyarakat terutama dalam hal-hal berkaitan agama.

Hizbul Muslimin diharamkan oleh penjajah British. Beberapa tahun selepas pengharaman itu, Haji Awang Mohammad muncul pula sebagai salah seorang yang paling awal memperkenalkan perjuangan Persatuan Islam Se-Tanah Melayu (PAS) di Terengganu.

Dengan rahmat Allah SWT, segala ilmu dan semangat perjuangan Islam yang ada dalam diri Haji Awang telah dianugerahkan oleh Allah kepada salah seorang anak lelakinya, Abdul Hadi. Sejak dari kecil lagi Abdul Hadi terkenal di kalangan orang-orang kampungnya dengan keilmuan dan akhlak yang terpuji.

Seorang tua di Kampung Rusila apabila ditanya mengenai peribadi Abdul Hadi, mengatakan: “Bapanya imam masjid kami dari sejak saya dilahirkan. Kami mengenali Ustaz Hadi sejak zaman kanak-kanaknya. Dia seorang yang jujur, amanah dan bersopan-santun.”

KELUARGA.

Tuan Guru Abdul Hadi Awang telah mendirikan rumah tangga dengan To' Puan Seri Hajah Zainab binti Awang Ngah pada tahun 1976. Manakala perkahwinan beliau yang kedua pada tahun 1991 dengan Dr. Norzita Taat. Hasil perkahwinan beliau dengan kedua-dua isterinya telah dikurniakan 14 orang cahaya mata iaitu 11 orang daripada isteri pertama dan 3 orang daripada isteri kedua. Dalam keluarga yang lebih besar, beliau dikurniakan 11 orang menantu dan lebih 30 orang cucu.

Anak sulung beliau, YB Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi yang merupakan alumni Universiti Al-Iman, Yaman kini menggalas jawatan sebagai ADUN Batu Buruk, Terengganu dan Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat merangkap Pengerusi Lajnah Antarabangsa PAS Pusat.

Selain itu, terdapat juga anak dan menantu beliau yang lain yang turut aktif dalam organisasi parti politik PAS, antaranya:


  • Ustaz Zaharudin bin Muhammad, suami kepada anak kedua beliau, merupakan Yang Dipertua PAS Kawasan Sungai Buloh (sesi 2019-2021) dan pernah menjadi Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Malaysia (sesi 2013-2015), Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat (sesi 2015-2017) dan Yang Dipertua PAS Kawasan Subang (sesi 2015-2017)
  • YB Ustaz Mohd Akmal bin Kamarudin, suami kepada anak ketiga beliau, merupakan ADUN Selama, Perak (penggal 2018-2021) dan pernah menjadi Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Perak (sesi 2015-2017 & sesi 2017-2019)
  • Ustaz Yusof bin Abdul Hadi, anak ke-7 beliau, merupakan Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Marang (sesi 2019-2021) yang juga Ahli Majlis Daerah Marang (penggal 2018-kini)
  • Ustaz Mohd Irham Nori bin Abidin, suami kepada anak ke-8 beliau, merupakan Ahli Jawatankuasa Kerja Dewan Pemuda PAS Hulu Terengganu yang juga merupakan Pengarah PASTI Kawasan Hulu Terengganu.

Panggilan ‘Tuan Guru Haji Abdul Hadi’ mula menjadi popular di kalangan pengikut-pengikutnya dan para hadirin jemaah di Masjid Rusila. Manakala di kalangan murid-murid dan penyokong-penyokong yang rapat dengannya serta masyarakat kampung, dia lebih mesra pula dipanggil dengan panggilan ‘Ayah Chik’.