Persada Dunia
Ketika menjadi mahasiswa luar negara
Beliau mula terlibat di peringkat antarabangsa di Madinah apabila menjadi Ketua (Persatuan) Pelajar Malaysia Universiti Islam Madinah. Selain itu, beliau turut menggalas tanggungjawab sebagai Setiausaha Agung Gabungan Pelajar-pelajar Asia Tenggara di Madinah.
Semasa di Madinah, beliau telah menerima pendedahan pemikiran Ikhwanul Muslimin secara serius apabila dua tokoh Ikhwan, Profesor Dr Muhammad Al-Wakeel dan Sheikh Said Hawwa menjadi mentor Siasah Syar'iyyah beliau. Beliau turut belajar daripada Dr. Abdul Satar Al Khudsi yang turut aktif dalam Ikhwanul Muslimin waktu itu.
Di Mesir pula, beliau menjadi Setiausaha Seksyen (bahagian) Syariah dan Undang-undang, Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir.
Mewakili gerakan Islam Malaysia
Sebagai pemimpin kanan PAS, Tuan Guru bukan sahaja memimpin gerakan Islam dalam Malaysia, tetapi juga terlibat dengan aktif di pentas antarabangsa bersama-sama gerakan Islam lain menangani permasalahan ummah.
- Ahli Lembaga Pemegang Amanah al-Majma' al-Alami li al-Taqrib Baina al-Mazahib al-Islamiah (Majlis Antarabangsa bagi Pendekatan Mazhab-mazhab Islam), berpusat di Tehran, Iran.
- 29 November 2019 - Menyampaikan Khutbah Jumaat dan kuliah di Masjid Raya Hubbul Wathan, Kota Mataram, Nusa Tenggara Barat, Indonesia.
- 14-16 November 2019 - Menyertai Persidangan Kesatuan Islam Sedunia Kali Ke-33 yang berlangsung pada 14 hingga 16 November 2019 di Tehran, Iran dan menyampaikan ucapan dan pembentangan yang turut dihadiri Presiden Parti Saadet Turki, Dr. Temel Karamollaoğlu
- 19 Julai 2019 - Merasmikan Persidangan Antarabangsa Marawi anjuran Persekutuan Antarabangsa untuk Bantuan dan Pembangunan (IFRD)
- 8 November 2018 - Menyampaikan syarahan dalam Persidangan Hari Rabu anjuran Pusat Kajian Sosial dan Ekonomi (ESAM) bertajuk "Masa Depan Ummah" di Turki
- 29 November 2015 - Menyampaikan pidato dalam Kongres Kesatuan Komuniti Muslim Antarabangsa kali ke-24 yang berlangsung pada 29-30 November 2015 di Istanbul, Turki
- 28 November 2015 - Menyampaikan syarahan perdana di majlis penutupan Persidangan Antarabangsa Belia Islam Kali Ke-10 yang berlangsung pada 26-28 November 2015 di Istanbul, Turki
- 28 April 2015 - Menyampaikan Syarahan Perdana di Rajaratnam School of International Studies (RSIS), Universiti Teknologi Nanyang, Singapura.
- 22 November 2014 - Menyampaikan ucapan dalam himpunan Ijtimak Am Jamaat Islami di Lahore, Pakistan yang turut dihadiri wakil daripada Partai Keadilan Sejahtera (Indonesia), Ikhwan al-Muslimin (Mesir) dan Parti Ennahda (Tunisia)
- 22 Ogos 2014 - 5 November 2018 - Dilantik sebagai Timbalan Presiden Kesatuan Ulama Muslimin Sedunia, bersama-sama Dr Ahmad al-Raysuni dan Sheikh Ahmad Al-Khalili yang diketuai oleh Dr Yusuf Al-Qaradawi.
- 14 Julai 2013 - Menyampaikan pidato di Himpunan "Bantah Rampasan Kuasa: Kami Berhimpun Demi Mesir" anjuran Parti Saadet Turki, di Turki.
- 23 Mei 2013 - Menyertai dan menyampaikan ucapan di Kongres Kesatuan Komuniti Muslim Antarabangsa kali ke-22 di Istanbul, Turki yang berlangsung pada 23-25 Mei 2013 bertemakan "Dunia Baru dan Pendekatan Adil: Mencari Penyelesaian Baru Dunia Islam". Kongres tersebut turut dihadiri oleh pemimpin dari An-Nahdah Tunisia, Rashid al-Ghannushi; dari HAMAS Palestin, Ismail Haniyeh dan Khaled Meshal; dari Ikhwanul Muslimin Mesir, Muhammad Badie; dari Jamaat-e-Islami Pakistan, Syed Munawwar Hassan; dan dari Ikhwanul Muslimin Syria, Riyadh al-Sakfa. Kongres tersebut turut menerima ucaptama dari dua pemimpin Negara Islam, Dr Mohammed Mursi (Mesir) dan Mahmoud Ahmadinejad (Iran).
- 11 September 2011 - Diberi penghormatan menyampaikan ucapan bertajuk 'Kebangkitan Islam: Kebijaksanaan Menanganinya' di Persidangan Antarabangsa Kebangkitan Islam di Tehran. Persidangan yang disertai oleh 700 perwakilan dari seluruh negara umat Islam itu membincangkan konflik terkini yang berlaku di Asia Barat seperti di Mesir, Tunisia, Libya, Yaman, Syria dan Palestin. Turut hadir ialah mantan Presiden Afghanistan, Prof Dr. Burhanuddin Rabbani yang meninggal dunia pada 20 September 2011, 9 hari selepas tamat persidangan.
- Mac 2010 - Menjadi tetamu kehormat Persidangan Kesatuan Islam Sedunia Kali Ke-23 yang berlangsung pada Mac 2010 di Tehran, Iran dan menyampaikan ucapan yang turut dihadiri mantan Presiden Afghanistan, Prof Dr. Burhanuddin Rabbani dan mantan Menteri Agama Indonesia, Prof. Dr Muhammad Quraish Shihab
- 1996 - Mewakili PAS ke Kongres Kesatuan Komuniti Muslim Antarabangsa kali ke-22 di Istanbul, Turki.
- 1995 - Menyampaikan ucapan di Seminar Antarabangsa Perpaduan Umat Islam dalam menghadapi masalah Bosnia-Herzegovina di Tehran, Iran
- 1994 - Ahli Jawatankuasa Sekretariat Gerakan Islam Antarabangsa yang berpusat di Istanbul, Turki.
- 1993 - Menyertai delegasi pemimpin gerakan Islam seluruh dunia yang diketuai oleh pemimpin Ikhwan al-Muslimin, Sheikh Mustafa Masyhur ke Afghanistan, bagi membantu penegakan negara Islam dan mengelakkan konflik antara jemaah Islam yang agak retak selepas pengunduran Rusia dari Afghanistan. Turut sama dalam delegasi tersebut ialah Presiden PAS, Dato' Fadzil Mohd Noor dan pemimpin Jamaat Islami, Qazi Ahmad Hussain.
- 1990 - Menyertai delegasi pemimpin gerakan Islam dunia ke Baghdad atas jemputan Perdana Menteri Iraq, Saddam Hussien semasa krisis Perang Teluk.
- 1990 - Ahli Jawatankuasa Penyelaras Gabungan Parti-parti Politik Islam bagi menangani isu Palestin, berpusat di Amman, Jordan.
- Ahli Jawatankuasa Sekretariat Islam Antarabangsa bagi Mempertahankan Baitul Maqdis yang berpusat di Amman, Jordan.
- Anggota Delegasi ahli Parlimen parti-parti Islam yang dipimpin oleh Dr. Najmuddin Erbakan, bekas Perdana Menteri Turki menemui Setiausaha Agung PBB, Boutros Boutros Ghali serta menemui Ahli Senat Amerika Syarikat.
- Anggota Delegasi Ahli-ahli Parlimen Parti Islam melawat Eropah yang diketuai oleh Dr Necmettin Erbakan.
- Anggota Delegasi pemimpin parti Islam seluruh dunia menemui raja-raja serta presiden negara-negara Asia Barat sebelum Perang Teluk.